KUALA LUMPUR: Spekulasi bahawa 53 Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan pemilihan semula dalam masa terdekat adalah berita palsu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Keadilan, adalah mustahil sekiranya beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh Pejabat Setiausaha Agung jika benar ada surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkaitan perkara itu.

Katanya beliau juga berada dalam jawatankuasa yang menguruskan beberapa hal yang timbul berkaitan pemilihan parti baru-baru ini dengan RoS.

BACA: Tiada pemilihan semula PKR, tumpu persediaan PRU15

"Saya ingin menyangkal dan menegaskan bahawa berita tersebut adalah berita palsu. Ini adalah rentetan daripada sebuah hantaran di ruang media sosial yang saya sifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan sengaja dikeluarkan atas tujuan provokasi," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA