IPOH: Pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan antara solusi yang boleh dipertimbangkan secara serius oleh pucuk pimpinan parti itu.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Parit, Khairul Shahril Mohamed berkata, walaupun ia bukan penyelesaian mutlak, cadangan itu dilihat salah satu solusi yang boleh merungkai kemelut dalaman parti itu ketika ini.

Beliau berharap pucuk pimpinan UMNO mendengar, mempertimbang dan memperhalusi segala pandangan, walaupun ia tidak seronok didengar dan pahit untuk diterima, demi kebaikan parti.

“Mengambil semangat PRU14 dahulu, mungkin kita terlepas pandang untuk mempertimbangkan beberapa pandangan, dan ia telah memberi kesan tidak baik kepada parti.

"Kita berpandu kepada pepatah, pahit itu ubat. Kita bersangka baik dengan sahabat-sahabat dan kita raikan pandangan semua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BACA: Pemilihan UMNO sebelum PRU15 boleh cetus keretakan, pecah-belah parti - Najib

BACA: 
Segerakan pemilihan parti, itu saja cara selesaikan kemelut dalaman UMNO - Khairy

Pada Selasa, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta pemilihan UMNO disegerakan untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Menurutnya, pemilihan tidak seharusnya ditangguhkan selepas pilihan raya sebaliknya harus dilakukan pada tahun ini juga.

Khairul Shahril yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Perak bagaimanapun berkata, sebarang keputusan terserah kepada pucuk pimpinan.

Beliau percaya apa sahaja keputusan yang bakal dibuat, ia akan mengambil kira kebaikan parti serta ahli-ahli.

“Mengambil semangat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, kita serahkan keputusan kepada Majlis Tertinggi.

"Dan saya sentiasa mendoakan kepimpinan kita buat keputusan terbaik, bukan demi kepentingan diri tapi demi kepentingan parti.

“Untuk semua pemegang jawatan UMNO, sama ada di peringkat pusat atau bahagian, kita jangan takut dengan bayang-bayang sendiri.

"Kita buat persediaan dan buat sesuatu itu haruslah demi parti,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua penyokong dan ahli parti, harus mendokong apa juga keputusan yang pucuk pimpinan parti kerana ia adalah antara tanggungjawab utama sebagai ahli.