KUALA LUMPUR : MCA sedia menyerahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lima pimpinan tertinggi atau 'Top 5' UMNO berkaitan keputusan menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini.

Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong merayu Perdana Menteri agar turut berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kemenangan parti itu.  

"Kita juga sedar, di mana PRU14 pada 5 Mei 2018, kita dah masuk ke tahun kelima untuk satu penggal Parlimen. Ini bermaksud, bila-bila masa sahaja PRU15 ini. Kita serah kepada budi bicara Perdana Menteri untuk berbincang dengan Top 5 UMNO seperti mana yang telah diputuskan.

"Namun, saya merayu kepada Perdana Menteri supaya berbincang dengan komponen parti bersama kerana kita bukan sahaja nak UMNO menang, kita juga nak MCA menang, MIC menang, kita nak PBRS menang dan kita nak kemenangan mutlak itu agar kita dapat mentadbir negara kita selepas PRU15," katanya semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden MCA sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Dewan Merdeka WTC di sini pada Rabu.

BACA: PRU15 bila-bila masa dari sekarang, PM seru BN bersedia

Dalam pada itu, MCA mengulangi pendirian untuk menyokong penuh usul UMNO yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang sekiranya diberi mandat rakyat.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Perdana Menteri mempunyai kepimpinan yang menggarap nilai-nilai murni dalam semangat Keluarga Malaysia.

"Selaku Presiden MCA, saya ingin mengulangi pendirian kita iaitu MCA menyambut baik dan menyokong penuh usul UMNO yang menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai panglima atau ‘ikon’ dan terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang sekiranya diberi mandat rakyat.

"Kepimpinan Perdana Menteri yang menggarap nilai-nilai murni dalam semangat Keluarga Malaysia adalah sesuatu yang baik untuk negara yang didiami masyarakat majmuk seperti Malaysia.

"Semangat kebersamaan inilah yang menguatkan kita dan mewujudkan kestabilan. Pencapaian baik Barisan Nasional selama mentadbir negara selama ini juga perlu kita pertahankan dan tambah baik lagi. inilah elemen yang tidak ada dalam parti  pembangkang,"ujarnya. 

Justeru, katanya MCA akan terus bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada PRU15 nanti.

"Kami komited untuk bertungkus-lumus meraih undi di PDM-PDM (pusat daerah mengundi) yang pengundinya majoriti Cina tidak kira siapa pun calon Barisan Nasional sama ada dari UMNO mahupun MIC, begitu juga PBRS di Sabah, " tegasnya.