MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberikan jaminan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau menegaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka akan terus berfungsi di bawah status kerajaan sementara (caretaker government) sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas pilihan raya.
“Pembubaran DUN Melaka tidak bermakna urusan-urusan kerajaan terhenti. Pentadbiran negeri, penyampaian perkhidmatan awam, urusan kebajikan rakyat, keselamatan serta perkhidmatan harian kerajaan terus berjalan seperti biasa.
“Semua jabatan, agensi kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan terus melaksanakan tugas secara profesional berdasarkan undang-undang dan tata kelola yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media pembubaran DUN di Kompleks Seri Negeri pada Selasa.
BACA: DUN Melaka bubar berkuat kuasa esok - Ketua Menteri
Beliau berkata, proklamasi pembubaran DUN juga diserahkan terus kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan pada hari yang sama untuk diangkat ke peringkat ibu pejabat SPR.
Mengulas soalan media berhubung pemilihan tarikh pembubaran, Ketua Menteri menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek risiko, termasuk faktor cuaca dan ancaman bencana alam.
“Kita mengambil kira faktor alam, mungkin ada banjir atau bencana, jadi kita mengambil kira banyak sudut dan persediaan telah dibuat lebih awal.
"Pemilihan tarikh pembubaran dibuat hari ini, namun tarikh Pilihan Raya Negeri terserah sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut melahirkan rasa puas hati terhadap prestasi barisan Exco, Timbalan Exco, dan wakil rakyat yang disifatkan komited menyantuni masyarakat menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa)
Beliau menonjolkan kejayaan program seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan program HEBAT (Hari Exco Bertemu Rakyat) yang telah menyelesaikan peratusan besar masalah akar umbi.
"Daripada lebih 5,000 aduan yang diterima di seluruh negeri Melaka, kira-kira 80 peratus telah berjaya diselesaikan merangkumi pelbagai isu seperti kebajikan, kesihatan, infrastruktur sekolah, longkang, dan lampu jalan,” tambahnya.