Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sultan Nazrin rasmi Hospital Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 22 Sept - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyantuni rakyat yang hadir menderma darah ketika baginda berangkat ke Majlis Perasmian Hospital Parit Buntar di sini, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
ultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyantuni rakyat yang hadir menderma darah ketika baginda berangkat ke Majlis Perasmian Hospital Parit Buntar di sini, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PARIT BUNTAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Hospital Parit Buntar hari ini. 

Yang turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah. 

Hadir sama ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Dzulkefly dalam ucapannya berkata hospital itu mula dibina pada Januari 2018 dan siap pada 23 Julai 2025 dengan kos berjumlah RM173.3 juta sebelum beroperasi pada 3 Sept tahun sama.

Beliau berkata pelbagai cabaran dihadapi sepanjang pembinaan hospital itu seperti keperluan kerja awalan intensif bagi menstabilkan struktur tanah bendang dan pandemik COVID-19.

Hospital Parit Buntar yang mempunyai enam blok bangunan dilengkapi dengan 76 katil merangkumi wad lelaki, perempuan dan kanak-kanak selain wad bersalin serta Unit Rawatan Separa Rapi (HDU).

Selain itu, hospital tersebut menawarkan kemudahan seperti enam bilik bersalin, ruang pemerhatian, Unit Respiratori dan Hemodinamik (RHU), Pusat Penilaian Kehamilan (PAC) dan dua dewan bedah moden dengan satu daripadanya mula beroperasi pada 3 April 2026.

Hospital itu juga menyediakan perkhidmatan kecemasan berzon, klinik pakar, hemodialisis, pengimejan dan diagnostik, patologi, transfusi serta farmasi selain menempatkan masing-masing seorang pakar perubatan dalaman dan pakar perubatan kecemasan.

Dzulkefly berkata setakat ini, fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) di Perak merangkumi 14 hospital, klinik kesihatan (89), klinik pergigian (78), klinik kesihatan ibu dan anak (10), klinik desa (188), institusi psikiatri (1) dan 16 klinik komuniti untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

 -- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement