Skip to main content

Malaysia

Orang awam dilarang hampiri kawasan tasik Masjid Terapung

Proses pengeringan dan pengurangan air di tasik berkenaan sedang dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur bahagian bawah masjid, termasuk tiang dan rasuk, dilaksanakan dengan selamat serta lancar. - Gambar/ Bernama
Proses pengeringan dan pengurangan air di tasik berkenaan sedang dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur bahagian bawah masjid, termasuk tiang dan rasuk, dilaksanakan dengan selamat serta lancar. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Orang awam dilarang memasuki atau menghampiri kawasan tasik sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah atau Masjid Terapung di Kuala Ibai dekat sini sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan dan  penyelenggaraan dijalankan.

Timbalan Pengerusi Masjid Tengku Tengah Zaharah Mohd Nafizul Ismail berkata proses pengeringan dan pengurangan air di tasik berkenaan sedang dilaksanakan bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur bahagian bawah masjid, termasuk tiang dan rasuk, dilaksanakan dengan selamat serta lancar.

Beliau berkata projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu yang bermula Ogos lepas itu dijangka siap Disember tahun depan dengan kos kira-kira RM2 juta.

Advertisement

"Larangan ini bagi memastikan keselamatan orang awam sepanjang kerja-kerja pembaikan. Keadaan tasik ketika proses pengeringan boleh menjadi tidak selamat untuk dimasuki, khususnya kerana terdapat teritip tajam, terumbu, struktur konkrit, permukaan yang tidak rata serta kemungkinan kawasan licin dan tajam yang boleh menyebabkan kecederaan atau kejadian tidak diingini.

"Orang awam juga dilarang turun ke kawasan tasik atau kawasan kerja yang telah dikosongkan airnya serta mengganggu atau menghalang kerja-kerja projek," katanya ketika dihubungi.

Advertisement

Selain itu, Mohd Nafizul berkata orang ramai juga tidak dibenarkan menangkap, mengambil atau memindahkan ikan dan hidupan tasik di kawasan berkenaan.

Beliau berkata semua hidupan tasik yang diperoleh sepanjang proses pengeringan serta kerja-kerja projek menjadi hak milik masjid dan akan diuruskan oleh pihak pengurusan institusi berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement