Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad wajar diberi peluang untuk menjelaskan seruan terbukanya agar semua parti Melayu bergabung di bawah satu parti.

Selain mahu mendengar sendiri perkara itu daripada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu berhak membuat seruan terbuka itu.

BACA: 'Jangan takbur dan sombong dalam isu perpaduan Melayu' - Hishammuddin

“Itu keputusan Bersatu. Kita nak dengar dulu (daripada Dr Mahathir),” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

BACA: Penyatuan parti Melayu: Pelawaan Tun Mahathir - Mat Sabu

Bagaimanapun, jelasnya perkara berkenaan akan dibincangkan oleh pimpinan tertinggi gabungan kerajaan itu dalam pertemuan mereka di Putrajaya hari ini.

Pada Jumaat, Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad membuat seruan terbuka kepada semua pemimpin dan ahli parti Melayu akan bergabung dalam satu parti dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka terus kuat.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.