PENYERTAAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu juga bersetuju dengan dengan cadangan itu yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai satu gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk Bersatu. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita.

“Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, UMNO, PAS dan parti-parti lain dalam kerajaan PN, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita.

“InsyaAllah penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020 yang disiarkan dalam akaun Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

Sumber Facebook ts.muhyiddin

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihatkan agar hubungan Bersatu dengan rakan dalam MN di peringkat akar umbi perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

“Saya tahu proses ini mungkin mengambil sedikit masa. Tetapi saya yakin kita akan dapat mewujudkan hubungan kerjasama yang baik dan kukuh dengan parti-parti rakan.

“Di peringkat pusat, saya sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan ini yang saya percaya akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bersatu dan parti-parti rakan yang lain dalam PN,” ujarnya.

Katanya lagi, September depan genaplah empat tahun usia Bersatu namun walaupun masih baharu, parti itu menjadi sebuah parti penting dan berpengaruh dalam persada politik tanah air.

“Kita merupakan sebuah parti yang utama dalam kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri. Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan kita.

“​Dalam tempoh empat tahun ini, jumlah keahlian parti kita telah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara.

"Kita juga telah menubuhkan 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan yang berdaftar. Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat.

“Untuk bergerak ke hadapan, sudah pastilah kita perlu menambah jumlah keahlian dan cawangan.

"Ini pastinya akan memperkukuhkan lagi parti kita. Jadikan penambahan ahli dan cawangan sebagai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) setiap Bahagian,” katanya.