Penyokong parti politik di Permatang Pauh bukan sahaja agresif, tetapi juga sangat beremosi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berlaku pelbagai perkara yang tidak diingini di kawasan itu seperti insiden baling kerusi, caci-mencaci dan memberi ancaman kepada pihak lain.

Beliau berkata insiden seperti ini menyebabkan polis mengeluarkan arahan untuk pihak SPR tidak melawat pusat-pusat mengundi di sekolah-sekolah terpilih seperti yang dirancang.

"Kami merancang hendak melawat empat sekolah tetapi kami hanya sempat melawat sebuah sekolah sahaja.

"Polis menasihatkan kami untuk tidak pergi ke sekolah-sekolah lain kerana ramai penyokong-penyokong parti dari dua belah membuat kekecohan

"Ramai diantara mereka bukan sahaja agresif tetapi juga beremosi sehinggakan di tempat yang ada penyokong yang sikit pun mereka 'boo' kat kita," katanya.

Abdul Aziz berkata beliau dapati kebanyakkan penyokong parti bukannya berkempen tetapi 'memantau'.

"Ada seorang ini tanya 'apa hal?' Kenapa ramai-ramai ni?'.

"Dia takut kita pergi mengundi. Budaya SPR ialah melawat pusat pengundian.

"Kita nak melihat SOP yang kita buat diikuti tak. Kemudian kami dapatkan respons dari pengundi," katanya.

Beliau menambah pihak polis sedang menyiasat salah laku semasa Pilihan Raya Kecil (PKR) Permatang Pauh, sedang mengumpul bukti dan dalam proses membuka sekurang-kurangnya tujuh kertas siasatan.

PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Pusat-pusat undian akan ditutup pada jam 5.00 petang dan keputusan akan diumumkan malam ini.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus pengundi Melayu.