Perbezaan ideologi politik di antara parti PAS dan DAP amat ketara.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha berpandangan ikatan terdahulu hanya bersifat sementara dan menunggu masa sahaja untuk terlerai.

Sehubungan itu, keputusan DAP pada Selasa mengumumkan menerima keputusan Muktamar PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan gabungan ini bukan suatu keputusan yang memeranjatkan.

Ahmad berkata objektif PAS untuk melaksanakan hudud dan ideologi DAP yang memperjuangkan fahaman sekular tidak mungkin dapat mencapai satu resolusi sepakat sampai bila-bila.

"Kedua-dua ideologi ini tidak mampu untuk dikompromi bagi mencapai kata sepakat. Namun oleh kerana mereka mempunyai matlamat yang mungkin sama justeru mengenepikan matlamat masing-masing bagi mencapai matlamat yang mereka hajatkan itu," ujar Ahmad.

Jelas Ahmad lagi, suara akar umbi PAS bergema ketika perhimpunan PAS baru-baru ini terus mengeruhkan keadaan.

"Namun lama-kelamaan apabila timbul pelbagai isu yang menyentuh perkara pokok masing-masing terutamanya kita lihat berkaitan isu hudud, maka sudah pasti kerjasama dan semangat harmoni antara kedua-dua parti tidak boleh bertahan lama."

Mereka yang menolak kumpulan progresif dalam PAS dan tidak mahu berganjak untuk meneruskan hubungan dengan DAP petanda konflik ini berada di tahap kritikal.

Tambah Ahmad lagi, perpecahan ini akan membawa kebaikan kepada Barisan Nasional (BN) terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti bagi mengukuhkan lagi kedudukannya untuk mencapai hasrat memperoleh majoriti dua pertiga.