Proses peremajaan UMNO hanya boleh direalisasikan dengan sistem yang terbuka dan penerimaan pemimpin-pemimpin lama bagi boleh mengetengahkan barisan pemimpin pelapis.

Itu merupakan pendapat ahli-ahli UMNO dari golongan belia yang menyambut baik saranan pucuk pimpinan UMNO yang mencadangkan agenda peremajaan UMNO, yang secara amnya mahukan kepercayaan dan peluang dari pemimpin sedia ada.

"Sebenarnya Pemuda UMNO telah lama bersedia untuk diketengahkan di dalam barisan pimpinan sekarang. Namun kami jarang diketengahkan dan diberi peluang," kata Muhammad Jeffri Baharin yang merupakan ahli Pemuda UMNO Serping, Negeri Sembilan.

Beliau berkata sistem sekarang ini banyak tapisan sehingga menyebabkan ada ahli yang berbakat tidak dapat diketengahkan.

Tambah beliau, ada pemimpin yang masih belum mempunyai kenyakinan untuk memberi peluang kepada ahli muda.

"Masih ada pemimpin yang belum bersedia untuk melepaskan jawatan. Masih ada barisan pemimpin yang lama.

"Dari segi kredibiliti, Pemuda UMNO sudah matang dan bersedia. Kami cuma mahukan peluang," katanya.

Ahli Pemuda UMNO (unit media sosial) Razman Rahim berkata, cabaran untuk meremajakan UMNO adalah dari pemahaman semasa, dimana secara asasnya, kaum Melayu (Islam) telah dibiasakan dengan pemahaman senioriti (dari segi umur). Ini adalah antara faktor utama yang menyebabkan UMNO tampak legasi.

"Peralihan dan penerimaan golongan legasi terhadap faktor ini, adalah peyumbang utama untuk merealisasikan inisiatif ini. Peremajaan juga boleh membina remaja yang mempunyai kesediaan tanggungjawab, dan permulaan pemecahan stigma kebolehpercayaan kepada golong tersebut,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Bukit Jelutong, Asyraf Adlan berkata terdapat budaya di dalam parti apabila pemimpin-pemimpin atasan melihat anak-anak muda yang ingin berjuang bersama parti dilihat sebagai ancaman

"Seharusnya, anak-anak muda ini dilihat sebagai pelapis dan harapan," katanya.

Tambah beliau, jika perlembagaan UMNO dapat digubal, agenda peremajaan UMNO dapat direalisasikan.

"Jika tidakan ini diambil, maka saya dapat lihat Pemilihan UMNO yang akan datang akan memberi peluang kepada anak muda, sejajar dengan peremajaan UMNO yang telah dibincangkan dalam beberapa tahun yang lepas.

Fazreensya Ameera Ahmad Kamar dari Kelab UMNO Luar Negara pula mahu sistem lapisan dilonggarkan agar wajah-wajah baru dapat diketengahkan.

"Golongan belia berusia 30 tahun ke bawah sudah matang. Mereka sudah ada idea yang boleh diketengahkan dan harus diberi peluang.

"Pemimpin sekarang ada dengar cadangan-cadangan dari golongan belia tetapi belum dapat digunakan sepenuhnya mungkin atas dasar-dasar tertentu," katanya

Siti Nurfathishah Mohd Fathir, juga dari Kelab UMNO Luar Negara, percaya proses peremajaan UMNO akan berlaku walaupun ia akan mengambil masa.

"Barisan pelapis dari Wanita dan Puteri UMNO sudah ada namun masih belum diketengahkan lagi.

"Saya sudah ada nampak peningkatan. Kita sedang ke arah sana," katanya.

Ditanya jika UMNO mempunyai kesaksamaan jantina terutamanya dari segi peluang untuk mengetengahkan idea yang baru, Siti Nurfathishah berkata sayap Wanita dan Puteri setaraf dengan kaum lelaki.

"Kami kecil tapi berbisa. Dengan menampilkan wajah-wajah dan idea-idea, kedua-dua sayap ini dapat diperkukuhkan lagi," tambahnya.