KUALA LUMPUR: Selepas Barisan Nasional (BN) membunyikan semboyan kemenangan di Melaka 20 November tempoh hari, keesokan harinya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

“Jika ditanya kepada saya, saya mahu ia (PRU15) diadakan esok,” katanya. Keyakinan itu adalah berdasarkan feel-good factor daripada kemenangan dalam PRN Melaka yang perlu dilanjutkan segera.

"The perfect storm." Ini juga hipotesis Tok Mat selepas BN mencatat kemenangan selesa di 21 daripada 28 kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baharu sahaj berakhir pada Sabtu (20 Nov) lalu. 

Ketika sama, beliau juga yakin bahawa kepercayaan dan sokongan rakyat sudah kembali kepada BN, melihat kepada kemenangan besar mereka parti politik berkenaan.

Namun, sejauh mana jumlah mereka yang mengundi BN daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka itu wajar dijadikan cerminan kepada sokongan sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap gabungan itu?

Malah yang keluar mengundi tempoh hari juga hanya tidak sampai 66 peratus, adakah perkara sama boleh berlaku pada PRU15 nanti dan BN dapat melakar kemenangan bergaya sekali lagi?

Ramai penganalisis, malah ahli-ahli politik juga merasakan perlunya diwujudkan dahulu Akta Antilompat Parti sebelum sebarang pilihan raya diadakan lagi.

Jika tidak, kebarangkalian ‘katak’ muncul lagi itu ada dan mereka boleh melompat ke parti lain, jadi sia-sialah pilihan raya yang diadakan.

Kestabilan dan jaminan perlu dibentuk dan diberikan kepada rakyat bahawa kerajaan yang akan dibentuk selepas pemilihan adalah kerajaan yang benar-benar stabil dan dapat menumpukan perhatian untuk lima tahun seterusnya dengan berkhidmat, barulah rakyat rela untuk keluar meredah hujan panas bagi memilih perwakilan mereka.

Andai semua ini sudah diambil kira, wajarkah sebenarnya PRU diadakan lebih awal daripada waktu yang sepatutnya?

Malam ini, penjelasan Tok Mat dalam Agenda AWANI, jam 8.30 hanya di saluran 501, astroawani.com. dan aplikasi media sosial Astro AWANI.

Bolehkah BN menang seandainya PRU diadakan esok?