POLITIK
Perhimpunan Agung Bersatu: 'Muhyiddin pemimpin sejati, tenang ketika negara dilanda krisis' - Azmin

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu 2025 hari ini. - Foto Izzat Fahmi
SHAH ALAM: Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu terbukti dan dalam masa sama teruji ketika negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi.
Ringkasan AI
- Azmin Ali menegaskan Muhyiddin Yassin berjaya mengurus krisis kesihatan dan ekonomi ketika pandemik, mengutamakan keselamatan rakyat dan pemulihan negara.
- Azmin menyelar pihak yang cuba memecahbelahkan Bersatu, menekankan kekuatan parti terletak pada dasar dan perpaduan dalaman.
- Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2025 menghimpunkan lebih 1,800 pimpinan untuk membincangkan hala tuju parti menjelang PRU, dengan fokus kepada isu rakyat.
Azmin menyatakan ketika dunia dilanda pandemik dan Malaysia berdepan kemelut ekonomi, Muhyiddin kekal tenang dan memberi keutamaan kepada keselamatan nyawa rakyat serta pemulihan ekonomi negara.
“Nak imbangkan antara nyawa dan kemakmuran negara bukan perkara mudah tetapi Presiden kita berjaya angkat dan selamatkan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang didakwa cuba memecahbelahkan Bersatu, sambil menegaskan bahawa kekuatan parti bukan sekadar pada nama tetapi pada pelaksanaan dasar dan perpaduan dalaman.
“Mereka cemburu dengan kita. Mereka tidak mahu (parti) Bersatu ini bersatu tetapi Presiden kita tenang, very calm, very gentleman. Tetapi ingat, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
“Tetapi beliau bukan buaya yang itu pelan sikit, dia adalah serigala,” ujar Azmin, mengakhiri ucapannya dengan tepukan gemuruh.
Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu 2025 berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan perwakilan dari seluruh negara bagi membincangkan hala tuju parti menjelang pilihan raya akan datang.
Sebelum ini, Muhyiddin Yassin menegaskan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu pada 6 dan 7 September ini menjadi wadah penting bagi membincangkan isu rakyat, bukan sekadar hal politik semata-mata.
Beliau berkata, perhimpunan tahunan yang diadakan mengikut perlembagaan parti itu bakal menghimpunkan lebih 1,800 pimpinan Bersatu daripada seluruh peringkat, sekali gus menjadi platform menyuarakan masalah sehingga ke akar umbi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami