KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengadakan Perhimpunan Agung (PAU) semula seandainya mempunyai kecenderungan untuk mengubah pendirian 'No DAP, No Anwar' yang pernah diputuskan sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan, setakat ini tidak ada kerjasama diputuskan membabitkan sebarang gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH).

"Saya harus akur dengan keputusan MKT parti dan lihat keputusan yang diambil. Tak, kita tak buat sebarang keputusan dengan PH.

"Tidak akan ada kerjasama dengan PH, kita lihat kalau perlukan, keputusan kena parti putuskan," katanya ketika ditanya media di Ibu Pejabat UMNO, di sini hari ini.

Kesemua pimpinan tertinggi UMNO dan parti gabungan yang lain termasuk MCA dan MIC dijangka akan menentukan hala tuju atau sokongan Barisan Nasional (BN) pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru selesai BN hanya berjaya menang 30 kerusi dan merupakan pencapaian terburuk pernah dicatatkan dalam sejarah PRU setakat ini.

Bagaimanapun gabungan parti lain seperti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dilihat perlu mendapatkan sokongan mereka bagi membentuk kerajaan memandangkan kesemua gabungan yang bertanding gagal melepasi angka majoriti mudah.

Malah barisan pimpinan teringgi BN dan PH telah mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific yang turut membincangkan kemungkinan gabungan antara mereka.

Namun setakat ini masih kedua-duanya masih belum mengumumkan keputusan secara rasmi.

Bagaimanapun BN dijangka memutuskanya selepas selesai bermesyuarat hari ini sebelum jam 2 petang.