PONTIAN: Segala permasalahan berhubung pentadbiran negara mahupun negeri perlu berbalik kepada perlembagaan dan undang-undang.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata penelitian perlu dibuat kerajaan secara menyeluruh berhubung isu Ordinan Darurat, perjalanan sidang Parlimen dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

"Penelitian adalah apa yang patut dibuat kerajaan secara keseluruhan sama ada pengisytiharan darurat perjalanan sidang Parlimen dan pentabiran Kerajaan Negeri.

"Tumpuan kepada undang-undang dan perlembagaan menjadi rujukan dan menjadi perkara penting untuk ianya diterjemahkan.

"Jadi tindak tanduk sama ada peranan institusi Raja dan kerajaan ianya semua adalah berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara," katanya.

Hasni berkata negara telah lama mencapai kemerdekaan, sepatutnya tidak timbul sebarang persoalan dan keraguan mana-mana pihak dalam menterjemahkan perlembagaan negara.

Namun, sekiranya itu berlaku, semua pihak perlu merujuk kembali kepada perlembagaan dan undang-undang negara.