Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil mengesahkan telah menerima permohonan keanggotaan Datuk Seri Salleh Keruak secara dalam talian.

Fahmi dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Biro Politik PKR akan membincang dan mempertimbangkan permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu pada mesyuarat yang akan datang.

"Mengenai permohonan keanggotaan Datuk Seri Salleh Said Keruak, saya ambil maklum laporan media yang mengatakan beliau telah membuat permohonan keanggotaan parti.

"Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan daripada beliau secara dalam talian (online). Bagaimanapun, Biro Politik Keadilan (PKR) akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini pada mesyuarat akan datang " katanya.

-- BERNAMA