Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengecam kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang ingin mengubah sempadan pilihan raya dengan tujuan untuk menguntungkan masyarakat Melayu dan Islam. Kenyataan ini jelas menunjukkan niat beliau untuk melukis sempadan dengan pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan Gerimander (Gerrymandering) bagi memenangkan parti beliau dalam pilihan raya.

BERSIH 2.0 menegaskan bahawa persempadanan yang berat sebelah (gerrymandering) adalah pengkhianatan kepada demokrasi. Dalam demokrasi, pengundi memilih ahli politik, maka ahli politik mesti menjaga rakyat dan bekerja kuat kalau tidak ingin dibuang kerja. Dengan gerrymandering, ahli politik memilih pengundinya, memastikan bahawa penyokongnya mendominasi banyak kawasan sungguhpun sokongan rakyat telah menurun, dengan itu ahli politik tidak takut dibuang kerja dan tidak perlu menjaga rakyat dan bekerja kuat.

BERSIH 2.0 menolak sekeras-kerasnya pembohongan bahawa penipuan dalam persempadanan boleh menguntungkan orang Melayu kerana ia dapat menjamin kuasa politik orang Melayu. Hakikatnya, orang Melayu memang mendominasi politik Malaysia tetapi mereka hanya berkuasa jika mereka boleh memilih mana-mana parti secara bebas. Sekiranya ada parti-parti tertentu dijamin kemenangan sekalipun mereka ditolak rakyat yang majoritinya Melayu, maka orang Melayulah pihak yang rugi paling banyak.

BERSIH 2.0 mengingatkan bahawa etnik Melayu mendominasi 70% daripada 20 kawasan parlimen terbesar di Semenanjung Malaysia pada PRU14. Ini akibat pertumbuhan populasi orang Melayu dan penghijrahan mereka ke bandar. Maka, pembahagian kawasan yang tidak sekata sebenarnya cuma merugikan orang Melayu. Dengan pertambahan 8 juta pengundi baru pada Julai 2021, lebih ramai orang Melayu yang akan menjadi mangsa kepada penipuan dalam persempadanan.

Jadual: 70 peratus daripada 20 Kawasan Parlimen Terbesar di Semenanjung Malaysia didominasi Melayu
BERSIH 2.0 ingin menjelaskan bahawa daripada segi kumpulan umur, mangsa paling besar daripada pembahagian tidak sekata yang melampau ialah anak muda, kerana mereka tertumpu di kawasan kota yang kawasan-kawasan pilihan rayanya padat dengan pengundi. Apabila Undi18 dilaksanakan, ramai anak muda akan hampa apabila mendapati nilai undi mereka jauh kurang daripada datuk dan nenek mereka di kampung. Ada unjuran bahawa jumlah pengundi di Bangi mungkin melambung kepada sekitar 400,000 manakala kawasan- kawasan seperti Cameron Highlands, Gerik dan Sabak Bernam mungkin di sekitar 50,000 sahaja.

BERSIH 2.0 menggesa PAS yang berslogankan Islam, pulang ke pangkal jalan dengan mencontohi teladan beramanah Khalifah Umar Abdul Aziz pada zaman Bani Umaiyah yang enggan mengambil kesempatan semasa melaksanakan amanah rakyat. Beliau memadamkan pelita kerajaan selepas membaca dokumen kerajaan dan memasang pelita peribadi untuk membaca dokumen peribadi. Parti pemerintah yang menyalahgunakan kuasa untuk memenangi pilihan raya dengan tipu muslihat bagaikan burung pegar yang makan padi dan menghampakan harapan rakyat.

Persempadanan semula kawasan pilihan raya mempunyai peraturan yang jelas sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 113(2) dan Seksyen 2(c) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Menurut peruntukan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib untuk memastikan bahawa jumlah pengundi di kawasan pilihan raya adalah “lebih kurang sama banyak” dan mengurangkan pembahagian tidak sekata (malapportionment). Sempadan pilihan raya yang dilukis sekarang sudah agak teruk dengan isu Gerimander dan pembahagian tidak sekata dengan wujudnya kawasan pilihan raya yang terlalu besar dengan nisbah antara parlimen terbesar kepada parlimen terkecil melebihi empat kali ganda.

BERSIH 2.0 ingin mengingatkan Datuk Dr Khairuddin bahawa PAS pada suatu masa dahulu pernah menentang kuat isu Gerimander sehingga menghantar wakil untuk membantah persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR pada tahun 2016 (3). Adalah tidak wajar Datuk Dr Khairuddin ingin mengulangi semula amalan lapuk dan kotor yang pernah ditentang PAS suatu ketika dahulu. Apatah lagi persempadanan yang dilukis berdasarkan etnik tertentu adalah tidak bermoral dan tidak membantu memupuk semangat kebangsaan di Malaysia.

Untuk persempadanan semula yang akan datang, BERSIH 2.0 ingin menggesa SPR supaya memperbaiki pembahagian tidak sekata di dalam negeri (interstate malapportionment) yang bertambah teruk kesan daripada persempadanan semula pada tahun 2016. Malah negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu juga menerima kesan buruk daripada pembahagian tidak sekata antara saiz parlimen terbesar dan parlimen terkecil, melebihi 33.33% sisihan piawai yang dibenarkan. Sebagai contoh, nisbah kawasan parlimen terbesar dan terkecil di Kedah adalah 2.7, Kelantan 2.4 dan Perak 3.4. Pembahagian tidak sekata melanggar prinsip “satu orang, satu undi” dan ini memberi kesan terhadap perwakilan rakyat di kawasan-kawasan yang telah dibahagikan secara tidak sekata.

BERSIH 2.0 memandang serius kenyataan Datuk Dr Khairuddin sebagai berniat jahat untuk mengubah sempadan demi memenangkan parti politik tertentu dan bukanlah niat untuk memastikan pengundi betul-betul diwakilkan secara saksama oleh wakil rakyat. Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional perlu menolak kenyataan oleh Datuk Dr Khairuddin. BERSIH 2.0 juga menggesa pihak SPR untuk menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini kerana hal ini menyangkut tanggungjawab SPR sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 113(2).

BERSIH 2.0 menyeru semua rakyat Malaysia tak kira kaum, agama dan pandangan politik sama-sama menolak dan mengecam kenyataan Datuk Dr Khairuddin yang berniat jahat untuk mengubah sempadan dan merompak demokrasi daripada rakyat.


Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0