KUALA LUMPUR:Pertandingan melibatkan tiga penjuru sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti hanya akan merugikan sentimen politik Melayu-Islam, termasuk kestabilan negara.

Itu pandangan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor yang turut berpandangan situasi parlimen tergantung bakal berlaku sekiranya Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berentap sesama mereka.

“Jika pertandingan tiga penjuru, hasil analisa mendapati situasi Parlimen tergantung bakal berlaku.

“PN yang telah didaftarkan oleh dua parti teras Melayu Islam (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) + Parti Islam Se-Malaysia atau Pas) dijangka memperolehi 72 kerusi, BN 51 kerusi dan PH 99 kerusi.

“Pertembungan tiga penjuru ini menatijahkan tiada mana-mana gabungan yang akan membentuk majoriti mudah 112 kerusi,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Meskipun ada kemungkinan PN dan BN bersetuju untuk bergabung selepas PRU, namun beliau menambah bahawa jumlah kerusi akan turut berkurang dengan drastik berbanding dua penjuru.

“Kedudukan kerusi yang sama dengan situasi sekarang bakal terbentuk. Malah analisa di atas berisiko berkeputusan lebih rendah untuk PN dan BN.

“Ini kerana ia bertentangan dengan kehendak rakyat di dalam kajian lapangan yang lebih meyakini satu gabungan yang stabil dan kukuh sebelum membuat pengundian dan bukannya selepas PRU15.

“Di samping itu juga, kerusi Islam-Melayu juga tidak akan mencapai majoriti. Paling tinggi mungkin sekitar 104 kerusi sahaja,” tambah beliau lagi.

Bukan sekadar itu, Mohd Roslan turut memperincikan bahawa situasi itu turut mengembalikan keputusan mirip PRU14 di mana PH menjadi gabungan terbesar bertunjangkan DAP yang akan memiliki sekurang-kurangnya 41 kerusi.

“Tarik-menarik ahli Parlimen akan berlaku dan akan merosakkan keyakinan rakyat serta pelabur dalam waktu kritikal untuk bersatu hati memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara pasca wabak COVID-19,” ujarnya.

Apa pula senario jika Barisan Nasional masih kekal dengan Perikatan Nasional dan menentang Pakatan Harapan pada PRU-15?

PN+BN berpotensi untuk memperolehi dua pertiga majoriti di parlimen. Senario situasi terbaik (best case scenario) menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi sehingga 162 kerusi parlimen berbanding PH yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi, jelas Dr Mohd Roslan.

“Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca PRU14.

“Sekitar 130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu. Gabungan PN+BN juga akan berjaya menambah kawasan Parlimen bandar sehingga 20 kerusi.

“60 kerusi PH pula didominasi 39 kerusi DAP, 13 PKR dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil,” jelas beliau.

Tambahnya, analisa ini bertepatan dengan majoriti maklum balas rakyat yang dikumpul di dalam kajian lapangan.

“Mereka bersedia memilih sebuah gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif (PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (UMNO+Pas) ataupun yang didominasi oleh kaum bukan majoriti (PH).

“Populariti PN+BN sebagai gabungan yang berteraskan kaum majoriti iaitu Melayu dan disertai oleh Bumiputera Sarawak, Sabah dan parti-parti kaum Cina dan India dilihat oleh rakyat mampu mengekalkan keharmonian dan lebih stabil serta baik untuk pertumbuhan ekonomi.

“Faktor penarik kepada PN+BN ini juga berkait dengan persepsi rakyat kepada keunikan parti teras gabungan tersebut iaitu mengutamakan kebajikan rakyat (Bersatu), berintegriti tinggi (Pas) dan berpengalaman dalam pentadbiran (UMNO).

“Walau bagaimanapun, perkembangan politik mutakhir ini memperlihatkan timbul kemungkinan untuk berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru.

“Pergeseran antara UMNO dan Bersatu secara khususnya dibimbangi boleh membawa kepada perkara tersebut,” jelasnya lagi berdasarkan kenyataan yang dihantar kepada Astro AWANI.

Antara kesimpulan lain termasuk persepsi pengundi di dalam Pilihan Raya Negeri Sabah mendapati:

- Ciri-ciri berintegriti tinggi, tiada salahguna kuasa dan tidak rasuah menjadi pilihan utama pengundi Melayu diikuti oleh inisiatif pemulihan ekonomi.

- PN+BN dilihat lebih diyakini sebagai gabungan yang berintegriti kerana ia gabungan baru yang tiada bebanan imej lepas.

- Perkembangan pengundi atas pagar, condong non-partisan dan lebih terbuka semakin tinggi peratusnya.

Jelas, Presiden PINTAR itu lagi, analisa senario pertembungan dua atau tiga penjuru ini dibuat setelah mengambil kira situasi politik semasa apabila berlaku pergeseran di antara parti teras Melayu-Islam di pihak kerajaan iaitu UMNO dan Bersatu.

“Sebaliknya, pertembungan tiga penjuru akan mengheret negara ke dalam kancah ketidakstabilan yang memudaratkan segenap lapisan rakyat dan membantutkan usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk.

“Bersatu dan Pas harus menghormati UMNO sebagai parti terbesar kaum majoriti Melayu di dalam pembahagian kerusi.

“Namun, UMNO pula perlu berlapang dada dan berjiwa besar dengan tidak menekan serta menuntut peruntukan kerusi yang tidak munasabah,” tambah beliau.

Untuk makluman, analisis ini selari dengan kenyataan penganalisis politik mendiang Dr Hoo Ke Ping, baru-baru ini.

Beliau menjangkakan PRU15 ini menyaksikan jika UMNO, Pas dan Bersatu bergabung, mereka akan kekal memerintah dan mendominasi menerusi pentadbiran yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan dalam kepelbagaian.

Kajian ini melibatkan tiga badan bukan kerajaan (NGO) ahli akademik dan profesional iaitu Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Ikatan Ilmuwan Nasional (ILMUWAN) dan NGO.

Ia berteraskan penyelidikan QGenAnalysts (QGA) yang telah berkerjasama menganalisa senario pertembungan dua penjuru (PN+BN vs PH) dan tiga penjuru (PN vs BN vs PH) berserta keputusan kajian lapangan yang dibuat sepanjang Jun–Disember 2020.