KUALA LUMPURL: Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertemuan beliau dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sebahagian daripada inisiatif untuk merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata inisiatif itu adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pimpinan utama parti politik selain Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 namun tiada keputusan muktamad yang dibuat setakat ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu, yang juga bekas Perdana Menteri, mendakwa selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik termasuk daripada Pejuang yang menyuarakan pandangan tersebut.

"Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong BN... tetapi kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah. Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.

"Mereka sependapat untuk seboleh-bolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15 bagi menghalang BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik," menurut beliau dalam kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini.

Pada Selasa lepas, media melaporkan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan Mahathir dan Muhyiddin telah mengadakan pertemuan dua minggu selepas PRN Johor bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam PRU15 nanti.

-- BERNAMA