Skip to main content

Politik

Peruntukan PRN Johor, Negeri Sembilan dianggar cecah RM167.4 juta - SPR

PUTRAJAYA, 12 Jun -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun bergambar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi menetaptkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pengerusi SPR memaklumkan PRN Johor ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta manakala PRN Negeri Sembilan ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkukuh persiapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dengan peruntukan keseluruhan dianggarkan sekitar RM167.4 juta serta melibatkan ribuan petugas dan ratusan pusat mengundi.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan PRN Johor ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta manakala PRN Negeri Sembilan ke-16 pula dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta.

“SPR telah membuat perancangan rapi bagi memastikan seluruh proses pilihan raya ini berjalan dengan cekap, telus dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, seramai 15,344 petugas akan dilantik bagi mengendalikan keseluruhan proses pilihan raya.

Menurut beliau, sebanyak 401 pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,668 tempat mengundi atau saluran serta 38 pusat mengundi awal dengan 70 saluran akan digunakan di negeri itu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 439 pusat mengundi dengan 1,738 tempat mengundi atau saluran akan digunakan bagi PRN Negeri Sembilan,” katanya.

Mengenai daftar pemilih, Ramlan berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRN Johor ke-16 adalah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026.

Katanya, DPPR berkenaan mengandungi seramai 2,727,926 pemilih terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera serta pasangan, dan 12,710 anggota polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA)

“DPPR bagi PRN Johor ke-16 dijadual mula dijual pada 23 Jun 2026,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata DPPR bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 menggunakan daftar pemilih terkini sehingga April 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2026.

Ujar beliau lagi, daftar itu mengandungi seramai 889,490 pemilih terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera serta pasangan, dan 5,455 anggota polis.

Must Watch Video

Advertisement