KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang telah dilantik untuk mengadakan rundingan mengenai jumlah peruntukan yang bakal diterima Ahli Parlimen pembangkang masih belum mengadakan sebarang pertemuan dengan beliau.

Katanya beliau juga tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Ahli Parlimen terbabit untuk mengadakan sebarang pertemuan.

"Setakat ini yang jumpa saya cuma Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar), daripada PN belum lagi, belum ada surat rasmi daripada mereka dan saya (masih) menunggu.

"Pernah ada perjumpaan dengan mereka tetapi berkaitan hal-hal lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), di sini pada malam Isnin.

April lepas Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiga Ahli Parlimen PN iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin telah dilantik untuk mengadakan rundingan dengan Fadillah.

Sementara itu mengulas mengenai hasrat kerajaan meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan kaedah latihan yang berbeza, Fadillah berkata langkah itu perlu bagi membangkitkan semangat kenegaraaan kepada golongan belia.

"Bukan sahaja semangat tetapi juga disiplin ketenteraan, itu akan dibangunkan kerana kita memerlukan belia yang gagah perkasa dan pada masa yang sama mempunyai semangat patriotik yang tinggi," katanya.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata PLKN 3.0 akan turut memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera.

-- BERNAMA