IPOH: Kepimpinan parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Perak mencapai kata sepakat membentuk Jawatankuasa Perundingan bagi memastikan agenda kestabilan dalam kerajaan sentiasa dapat dipertahankan.

Menerusi kenyataan bersama Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, keputusan itu juga dibuat susulan pembentukan kerajaan negeri hasil persefahaman dua parti berkenaan.

"Pembentukan jawatankuasa berkenaan adalah simbol komitmen kedua-dua parti dalam menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya kestabilan politik sentiasa disuburkan, demi menjamin kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Sehubungan itu, jawatankuasa tersebut telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada Selasa (semalam) dengan dipengerusikan Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat itu turut dihadiri pemimpin parti komponen masing-masing dan kedua-dua parti telah mencapai persetujuan untuk membuat beberapa ketetapan penting.

Katanya, ia termasuk memastikan kerajaan negeri kekal stabil untuk menyempurnakan sepenuhnya penggal pentadbiran dengan berganding bahu menjunjung keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Memastikan agenda kebajikan rakyat sentiasa didahulukan melalui penyuburan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan rakyat di bawah kepimpinan Menteri Besar serta pasukan pentadbirannya.

"Memakmurkan Perak dengan kegiatan ekonomi yang pesat serta menjana pendapatan negeri melalui amalan pentadbiran kerajaan yang bersih, telus, adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat tanpa mengira sempadan kaum dan agama," kata kenyataan itu lagi.

Di samping itu, turut menjadi fokus utama jawatankuasa itu ialah memperkukuh dan memanfaatkan saluran media di semua platform secara lebih berkesan bagi menyampaikan maklumat kepada warga Perak khususnya dan umumnya rakyat Malaysia mengenai dasar dan pencapaian kerajaan negeri.

Tidak ketinggalan, memelihara keharmonian hubungan antara parti di semua peringkat bagi menjayakan dan melicinkan perjalanan pentadbiran negeri di peringkat akar umbi.