Skip to main content

Politik

PH dakwa sokongan meningkat pada separuh pertama kempen PRN Johor

Saifuddin Nasution Ismail -- FB
Saifuddin berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan pemantauan dalaman di kawasan-kawasan keutamaan yang ditandingi PKR, Amanah dan DAP. - Foto Facebook/Saifuddin Nasution Ismail
Advertisement

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mendakwa momentum sokongan pengundi terhadap gabungan itu semakin meningkat selepas memasuki separuh pertama tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan pemantauan dalaman di kawasan-kawasan keutamaan yang ditandingi PKR, Amanah dan DAP.

Menurut beliau, peningkatan sokongan tersebut didorong oleh strategi kempen PH selain beberapa perkembangan politik melibatkan pihak lawan.

"Apa yang saya maksudkan ialah, bagi kawasan-kawasan ini, separuh masa pertama kempen menunjukkan trend sokongan yang sangat meyakinkan. Sebahagiannya disebabkan strategi parti yang kita gunakan, tetapi pada masa yang sama kita juga melihat pihak lawan turut membantu melonjakkan sokongan kepada kita," katanya pada sidang media di DUN Puteri Wangsa, pada Ahad.

Saifuddin berkata, antara faktor yang memberi kesan kepada sentimen pengundi ialah pengumuman Pas yang hanya bertanding di 11 kerusi dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandinginya.

Menurut beliau, keputusan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi kerana Pas bertanding menentang UMNO di sebahagian kerusi, namun tidak menyokong calon Bersatu di kerusi lain yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

"Mesej ini menunjukkan bagaimana Pas mengambil mudah rakyat Johor. Mereka boleh mencaturkan keadaan begitu sahaja mengikut selera politik mereka. Dan itu tidak bagus," katanya.

Beliau berkata, pendekatan PH pula lebih telus dengan pembahagian kerusi yang jelas melibatkan 20 kerusi PKR, 19 kerusi Amanah dan 17 kerusi DAP untuk menawarkan satu pilihan kerajaan kepada rakyat.

Tambah beliau, manifesto PH juga dirangka supaya mudah difahami, realistik serta mempunyai garis masa pelaksanaan yang jelas.

Saifuddin turut menyifatkan kehadiran Perdana Menteri pada kempen PH semalam serta penyertaan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO di pentas PH sebagai perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi momentum kempen gabungan itu menjelang hari pengundian.

 

 

Must Watch Video

Advertisement