POLITICS
PH perlu perkukuh sokongan Melayu hadapi PRU16 - Nik Nazmi

Nik Nazmi berkata, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada strategi mengekalkan dan menambah undi Melayu, selain menembusi semula kawasan-kawasan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama kepada kemenangan PH. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Antara cabaran utama menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) ialah usaha memperkukuh semula sokongan dalam kalangan pengundi Melayu, khususnya di kawasan strategik yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan, perkara itu penting sekiranya PH mahu terus melahirkan perdana menteri dalam kalangan mereka dan mengekalkan kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan.
“Kita kena ingat dalam pilihan raya baru-baru ini, kita sudah mula kehilangan undi Melayu. Bukan hanya di Pantai Timur, yang kita tahu memang sukar. Tetapi kita juga mula hilang sokongan di Selangor.
“Di Setiawangsa pun, dalam pilihan raya yang lepas, parti nombor dua bukan UMNO, parti nombor dua ialah Bersatu. Itu satu perkara yang merisaukan dalam pilihan raya negeri.“Kita dapat tengok juga beberapa kerusi seperti Taman Medan, tempat mak saya mengundi. Itu antara kawasan yang kita pernah menangi sebelum ini tetapi tewas dalam pilihan raya lalu,” katanya..
Nik Nazmi berkata demikian semasa program Jelajah Hiruk Rafizi Ramli Zon Kelantan dan Terengganu yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Jelasnya, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada strategi mengekalkan dan menambah undi Melayu, selain menembusi semula kawasan-kawasan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama kepada kemenangan PH.
Terdahulu, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, PH masih belum berjaya mencapai tahap sokongan Melayu melebihi 30 peratus, kecuali pada fasa awal pentadbiran yang disifatkan sebagai tempoh “bulan madu”.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami