KUALA PILAH: Pakatan Harapan (PH) bertekad memastikan manfaat pembangunan dapat diperluaskan ke seluruh Negeri Sembilan, termasuk kawasan di luar Seremban, sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan faktor penting dalam memastikan lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.
“Saya yakin jika PH menang nanti, kita akan dapat banyak lagi manfaat di negeri ini.
“Bukan sahaja di kawasan Seremban, tetapi kita yakin ia akan sampai ke Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Tampin untuk kita bangunkan negeri yang kita cintai,” kata beliau yang juga merupakan Menteri Besar negeri ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan ke-16 di Kuala Pilah hari ini.
Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan merupakan faktor penting dalam memastikan lebih banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.
Tambahnya, sokongan Kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi merealisasikan pelan pembangunan negeri pada masa depan.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar terus bekerja bersungguh-sungguh sehingga hari pengundian, selain meminta pengundi di dalam dan luar Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada PH bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan usaha membangunkan negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN 2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.