KOTA BHARU: Usaha mewujudkan persefahaman dan muafakat antara parti politik sering kali digagalkan oleh pihak ketiga, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, keadaan itu turut berlaku apabila terdapat pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mengeluarkan kenyataan melampaui kepimpinan tertinggi parti sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli dan akar umbi.
"Pengalaman nampak yang mana usaha ke arah mewujudkan persefahaman dan muafakat sering kali digagalkan oleh pihak ketiga.
"Kadang kala dalam dunia sosial media atau dunia tanpa sempadan hari ini, banyak dalam kalangan pihak-pihak yang mahu berlagak hero mengeluarkan status-status, kenyataan yang melampaui kepimpinan tertinggi parti sehingga menimbulkan keresahan kepada parti dan juga orang-orang di bawahnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, Empat Peringkat Tahun 2026 di Dewan UMNO Negeri Kelantan di sini.
Asyraf Wajdi memberitahu, pihak yang terlibat dalam usaha perundingan juga seharusnya tidak menggunakan media umum untuk membentuk persepsi sebelum sebarang perbincangan dimulakan.
"Jadi saya kira lebih baiklah untuk kita tidak menggunakan media umum ini sebelum kita mulakan perundingan ataupun perbincangan, memberikan persepsi-persepsi yang sebenarnya tidak menguntungkan dalam konteks perbincangan ini," katanya.
Mengulas mengenai pihak ketiga yang dimaksudkan, beliau menyerahkan kepada wartawan untuk membuat tafsiran sama ada ia membabitkan pemimpin politik atau pihak lain.
"Pihak ketiga ini ada macam-macam. Dia boleh orang dalaman, boleh orang luaran.
"Yang pentingnya kita berikan kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing untuk menterjemahkan hasrat rakyat yang mahu melihat parti yang mewakili suara orang Melayu terbesar hari ini boleh duduk berbincang," katanya.
Ujar beliau, proses perbincangan perlu diberikan ruang untuk berlaku terlebih dahulu tanpa gangguan atau kenyataan yang boleh menjejaskan usaha berkenaan.
"Biarkan perbincangan itu berlaku terlebih dahulu. Dan biasalah dalam perbincangan akan ada nama perbincangan, tolak ansur.
"Paling penting, kita buat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan juga maslahah negara," katanya.
Ketika ditanya sama ada penekanannya itu merujuk kepada Pas dan UMNO atau Barisan Nasional (BN), Asyraf Wajdi menegaskan kenyataannya bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus. -- Sinar Harian