Keputusan menamakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dibuat secara kolektif berdasarkan kerjasama dan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, pendirian berkenaan diputuskan apabila dua dari tiga parti dalam PR iaitu PKR dan DAP menamakan Isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim sebagai menteri besar baharu.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama juga mencadangkan nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali selepas Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat daripada PKR sekali gus menjadi Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) bebas.

"Kita tidak ada hak untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh parti lain, kita tidak ada hak selagi kalau kita ada kuasa untuk putuskan benda ini, nescaya kita akan putuskan.

"Kita akan mengatakan bahawa wanita itu tidak sesuai untuk jadi menteri besar, itu dua keadaan yang berbeza, bukan PAS yang mencadangkan benda itu, itu adalah cadangan daripada PR," katanya.

Nik Zawawi turut menyangkal tuduhan pihak yang mendakwa PAS membuat pusingan-U dalam sokongan mereka terhadap Abdul Khalid.

Walapun mengakui kerajasama dalam PR banyak menguntungkan PAS, namun pada masa sama, parti islam itu tidak akan menggadaikan prinsip yang diperjuangkan sejak sekian lama.

"Kita dalam tahaluf siyasi, dalam perjuangan Islam tidak boleh sama sekali kita mengahalalkan apa jua yang ditegah oleh Allah, di tegah oleh agama, tahaluf siyasi tidak menghalalkan benda ini, yang haram tetap haram, yang boleh tetap boleh, yang tak boleh tetap tak boleh," ujarnya.

Nik Zawawi berkata demikian pada majlis sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Terengganu pada khamis.