Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing hari ini berkata parti itu yakin dapat memenangi kesemua 11 kerusi yang diperuntukkan kepadanya pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Beliau berkata PRS tidak berdepan kesulitan memenangi kerusi berkenaan, malah lebih banyak kerusi jika kepimpinan Barisan Nasional (BN) menawarkan kerusi tambahan terutamanya di kawasan yang penduduknya majoriti Dayak kepada parti itu.

Masing, yang juga Menteri Kemajuan Tanah Sarawak dan Anggota Dewan Undangan Negeri Baleh, turut menegaskan dua kerusi baharu iaitu Samalaju dan Murum telah diperuntukkan kepada PRS.

"Oleh itu, parti komponen BN lain tidak boleh menuntutnya," katanya kepada pemberita sebelum mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, Khamis.

Masing berkata beliau tidak kisah jika PRS tidak diberi kerusi tambahan, tetapi meminta parti lain supaya tidak menuntut Murum dan Samalaju kerana Ketua Menteri telah memutuskan kedua-dua kerusi itu diperuntuk kepada PRS.

Mengenai calon PRS, Masing berkata senarainya sudah disiapkan namun, menyerahkan kepada Ketua Menteri untuk mengumumkannya.

Selain Murum dan Samalaju, PRS akan mempertahankan kerusi Baleh, Bukit Begunan, Balai Ringin, Belaga, Batang Ai, Tamin, Kakus, Pelagus dan Ngemah.

Pada pilihan raya negeri lepas, PRS kalah di Pelagus kepada calon Bebas, George Lagong.