Berjumpa pengundi secara peribadi lebih baik dan berkesan berbanding penggunaan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia tradisi turun temurun yang mendekatkan calon dengan pengundi selain memastikan hubungan yang erat di antara kedua-duanya.

Sharifah Hasidah juga tidak mahu anak muda terutamanya menyalah guna platform media sosial semata-mata untuk tujuan yang negatif.

"Selain membaca media sosial, kita kena lihat sekeliling dan pembangunan yang ada. Saya tahu media sosial penting tetapi kita perlu kembali kepada cara lama untuk berkempen.

"Tradisi berjumpa rakyat itu penting dan berjumpa secara peribadi itu adalah yang terbaik. Kita bukan datang jumpa pengundi semasa happy-happy sahaja," katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Samariang di sini hari ini.

BACA: Ini sekilas fakta PRN Sarawak yang anda perlu tahu

Pada PRN kali ini, Sharifah Hasidah akan dicabar oleh seorang lagi calon wanita, Nani Sahari daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan wakil PAS, Yusof Assidiqqi Ahmad Sharkawi.

Pada pilihan raya lepas 2011, Sharifah Hasidah mengekalkan kerusi itu buat penggal kedua dengan majoriti 5,431 undi, mengalahkan calon PKR, Zulrusdi Mohamad Hol dalam pertandingan satu lawan satu.

Bagaimanapun tegasnya, kepentingan media sosial tidak boleh diketepikan terus dan mengakui mempunyai pasukan media sosial pada kempen PRN kali ini.

Dalam pada itu katanya, majoriti besar yang diperolehinya pada PRN lepas bukan bermaksud keselesaan pada pilihanraya kali ini.

"Saya tidak memandang kemampuan rendah calon lain. Apa yang saya beritahu pengundi adalah pembangunan yang sudah dibuat sejak lima tahun lepas dan apa yang akan dibuat dalam masa lima tahun lagi," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, isu gender bukanlah perkara yang harus menjadi penghalang untuknya terus mempertahankan kerusi itu.

PRN kali ini menyaksikan sejumlah 22 calon wanita daripada 204 calon lelaki bertanding berbanding 16 calon wanita pada pilihan raya negeri lepas pada 2011.