Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan akan datang.

Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keputusan ini diambil kerana perlunya parti itu bertolak ansur, saling memahami dan semangat berjiwa besar sesama anggota Pakatan Rakyat (PR).

“Saya percaya kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar PR terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Rakyat kini berhadapan dengan kenaikan harga minyak yang saya jangka akan diumumkan sebelum Belanjawan 2015, pengenalan GST menjelang April 2015, tangkapan dan pelbagai tindakan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan selain dari adu domba perkauman dan keagamaan yang berterusan.

“Untuk berhadapan dengan BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang BN. Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Semalam, Wan Azizah mengakui terguris hati dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempersoalkan kebolehan dan kemampuannya sebagai calon Menteri Besar Selangor.

"Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

"Bagaimanapun tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri," katanya.

Beliau turut menasihati semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan balas terhadap Abdul Hadi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan keluarga atas jasa beliau dan bantuan kepada saya sejak tahun 1999 lagi," katanya.

Jumaat lepas, Abdul Hadi berkata PAS tidak menamakan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu berikutan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu tidak berkebolehan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.