PKR hari ini mendakwa saham minoriti dalam konsesi penswastaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah dimiliki oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Rahman.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata konsesi penswastaan UiTM cawangan Tapah dianugerahkan kepada UniTapah Sdn Bhd dengan konsesi selama 23 tahun untuk membina dan menyewakan kembali kampus itu kepada UiTM.

Rafizi mendakwa anak perempuan Tajuddin, Sri Rahayu Tajuddin merupakan salah seorang pengarah UniTapah Sdn Bhd.

"Hari ini saya boleh mengesahkan ahli Parlimen Pasir Salak adalah pemimpin UMNO yang mempunyai pegangan minoriti dalam konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Tapah.

"Sri Rahayu juga pernah menjadi setiausaha UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai oleh Tajuddin.

"Ini mengulangi perkara yang sama dalam konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM lain apabila setiap syarikat konsesi turut mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO atau ahli perniagaan yang rapat dengan UMNO," katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, seorang lagi pengarah dalam UniTapah Sdn Bhd, Vignesh Naidu Kuppusamy Naidu turut mempunyai hubungan dengan Tajuddin melalui usahasama perniagaan bersama di antara mereka.

"Selain UniTapah Sdn Bhd, Tajuddin dan Vignesh Naidu mempunyai hubungan melalui sebuah syarikat pembinaan iaitu Everfine Resources Sdn Bhd yang mana Tajuddin adalah pengerusinya dan Vignesh Naidu pengarah syarikat itu.

"Kepentingan beliau dalam syarikat konsesi ini dipegang melalui sebuah syarikat iaitu Detik Utuh Sdn Bhd.

"Syarikat itu mempunyai kepentingan sebanyak 9.8% dalam UniTapah Sdn Bhd manakala saham selebihnya dipegang oleh sebuah syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur iaitu Crest Builder Holdings Berhad (melalui Crest Builder International Sdn Bhd)," katanya.

Rafizi juga mendakwa, 450,000 saham di dalam Detik Utuh Sdn Bhd dimiliki oleh Tajuddin dan menjadikan beliau pemegang saham terbesar.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, 150,000 saham Detik Utuh Sdn Bhd dimiliki oleh Vignesh Naidu manakala baki 400,000 saham dimiliki Obata-Ambak Holdings Sdn Bhd.

Obata-Ambak Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dikawal oleh keluarga isteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Pengarah di dalam Detik Utuh Sdn Bhd adalah individu yang rapat dengan Tajuddin iaitu anaknya sendiri, Sri Rahayu dan kenalan perniagaan beliau iaitu Vignesh Naidu dan Haniff Mahmood.

"Walaupun pegangan Tajuddin tidak sebesar pegangan ahli politik UMNO lain dalam konsesi yang saya dedahkan sebelum ini, ia mengesahkan setiap konsesi penswastaan kampus cawangan UiTM menguntungkan sekurang-kurangnya ahli politik UMNO dengan bayaran sewa yang cukup membebankan rakyat," katanya.

Rafizi sejak minggu lalu melakukan pendedahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan UMNO memiliki konsesi penswastaan UiTM di seluruh negara.