Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersikap terbuka serta mahukan semua pihak, termasuk PAS dalam blok pembangkang baharu yang akan dibentuk.

Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menegaskan, walaupun PAS menolak pelawaan menyertai perbincangan meja bulat oleh PKR, namun pintu masih terbuka untuk PAS.

"Saya sebagai ketua pembangkang telah membuka jemputan dan itu jawapan mereka, tapi jemputan masih terbuka.

"Saya mengadakan meja bulat ini supaya kita sama-sama dapat mencari jalan masa depan negara.

"Itu sahaja, kalau dia (PAS) tidak mahu datang, itu adalah pilihan dia (PAS)," kata Wan Azizah selepas melancarkan Forum 'Gabungan Kerajaan dan Gabungan Pembangunan di Malaysia' di ibu negara, hari ini.

Sebelum ini, PAS dilaporkan tidak akan menyertai perbincangan meja bulat yang dianjur PKR kerana masih belum bersedia

Menurut Azizah, parti pembangkang baru memerlukan sokongan PAS untuk memenangi pilihan raya umum.

Mengulas tahap keyakinan PKR terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS, Azizah menekankan keperluan sokongan dari pelbagai pihak untuk memenangi pilihan raya.