PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kemelut politik melibatkan DAP Melaka diselesaikan secara rundingan bagi memastikan fokus parti tidak terjejas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta kepimpinan DAP Melaka dan Ketua Menteri Melaka supaya sebarang tindakan berkaitan pertikaian itu ditangguhkan buat sementara waktu.
Tegasnya, perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
“Saya cakap tadi dengan (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke dengan DAP dan Ketua Menteri kalau boleh dia runding dulu supaya tangguh sekejap, soal negeri dulu sehingga pilihan raya.
“Sebaiknyalah, walaupun dua tiga perkara tidak bersetuju takpalah sekarang ni banyak benda yang kita tak setuju sama.
“Tapi dari segi dasar untuk pertumbuhan ekonomi dan rakyat kita teruskan, jadi saya harap dia (DAP) pertimbangkan supaya kerja kita tidak terganggu,” ujarnya.
Astro AWANI hari ini melaporkan, PH Melaka kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas gabungan itu memutuskan untuk menarik sokongan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibawa pentadbiran negeri kerana ia bercanggah dengan prinsip politik yang dipegang parti.