PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar kemelut politik melibatkan DAP Melaka diselesaikan secara rundingan bagi memberikan tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
Anwar berkata, beliau telah menghubungi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta kepimpinan DAP Melaka dan Ketua Menteri Melaka supaya sebarang tindakan berkaitan pertikaian itu ditangguhkan buat sementara waktu.
Tegasnya, perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin adalah perkara biasa, namun ia tidak seharusnya menjejaskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
“Perkara itu sudah saya cakap dan tanya dengan (Menteri Pengangkutan) Anthony Loke, dengan DAP (Melaka) dan juga Ketua Menteri supaya mereka runding dahulu … tangguh sekejap, supaya kita boleh buat kerja dengan kerajaan negeri sehingga pilihan raya.
“Sebaiknyalah, walaupun dua tiga perkara tidak bersetuju takpalah sekarang ni banyak benda yang kita tak setuju sama.
“Tapi dari segi dasar untuk pertumbuhan dan ekonomi dan rakyat kita teruskan, jadi saya harap dia (DAP) pertimbangkan untuk jalankan kerja dan kita tidak terganggu,” ujarnya lagi.
Astro AWANI hari ini melaporkan, PH Melaka kini tidak lagi menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas gabungan itu memutuskan untuk menarik sokongan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026.
Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, PH tidak boleh terus berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibawa pentadbiran negeri kerana ia bercanggah dengan prinsip politik yang dipegang parti.