PM Anwar ucap selamat bersidang kepada perwakilan UMNO

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 2023. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu.
Anwar pada masa sama berharap persidangan UMNO itu kali ini akan berlangsung dengan tertib, penuh wacana bernas berpaksikan kepada rakyat, serta menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang MADANI.
Beliau berkata Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
"Dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara," kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 2023.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Perhimpunan kali ini menghimpunkan sebanyak 6,412 perwakilan dari seluruh negara melibatkan 2,928 orang bagi Perhimpunan Agung UMNO 2025, Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita (1,165 orang), Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda (1,173 orang) dan Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri (1,146 orang).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


