KUALA LUMPUR: Pembentukan Kerajaan Perpaduan dilihat berhasil dan mampu mengelak daripada sebarang cubaan "tebuk atap" selepas setahun pentadbiran, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri juga mendedahkan, tiada sekalipun pertelagahan akibat perbezaan parti dalam kerajaan Persekutuan walaupun pentadbiran diketuainya dibentuk dengan gabungan 18 parti politik.

"Hubungan kerjasama sangat baik. Dalam Jemaah Menteri, belum ada sekalipun pertelagahan atas perbezaan parti, percubaan ini nampaknya berhasil.

"Percubaan tebuk atap, ada yang kata Ogos, (tapi) saya fikir kita ada kekuatan. Saya berterus terang, tidak timbul masalah, perbezaan pendapat antara parti menyebabkan percubaan pembangkang yang terdesak akan gagal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog semasa majlis penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.

Bagi menyokong pendapat itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, semua parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan berkongsi pandangan dalam soal prinsip dan pelaksanaan.

"Terdapat 18 parti dalam kerajaan perpaduan ini, saya ingin mendedahkan bahawa 18 parti ini berkongsi pendapat bukan hanya tentang soal prinsip tetapi soal pelaksanaan.

"Semua presiden parti dan wakil parti semua memberi dokongan untuk PMX menerajui negara ini di bawah kerajaan Madani ini.

"Malah di setiap mesyuarat, sekretariat telah memberi laporan bahawa jika ada perbezaan pendapat di akar umbi ia bukan pendirian parti tetapi pendirian individu," katanya.

Sementara, Datuk Seri Fadilah Yusof pula menegaskan bahawa semua pihak sewajarnya memberi fokus kepada kestabilan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

"Saya mahu menambah, mengesahkan dan mengulangi apa yang patut menjadi fokus kita semua adalah apa yang dihasrat oleh Yang DIpertuan Agung untuk wujudkan Kerajaan Perpaduan.

"Kalau perpaduan ini ada, kestabilan politik ini ada barulah kerajaan dapat fokuskan untuk mentadbir urus negara ini yang matlamatnya mengukuhkan kekuatan ekonomi demi kesejateraan rakyat," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kejayaan pentadbiran Kerajaan Perpaduan disumbangkan oleh pembentukan pasukan Kabinet yang mantap serta komitmen kepimpinan secara keseluruhannya.

Katanya, pandangan masyarakat bahawa beliau berseorangan mengemudi bahtera kerajaan adalah persepsi semata-mata, sedangkan ada beberapa kejayaan dibuat kementerian tidak membabitkan dirinya secara langsung.