KUALA LUMPUR: UMNO berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9 dapat menterjemahkan hasrat parti untuk membawa aspirasi rakyat menangani pandemik COVID-19. 

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada masa sama berkata, pelantikan itu diharap akan memastikan kesejahteraan, kemaslahatan dan keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan.

"Ini selaras dengan titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga mahu suatu permuafakatan dan kerjasama di kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat dilakukan dengan mengakhiri segala kemelut politik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

BACA: Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9

Pada masa sama, katanya kerajaan baharu ini juga diharap akan berusaha memastikan kestabilan politik dapat dicapai bagi suatu tempoh munasabah sebelum memungkinkan diadakan Pilihan Raya ke-15 untuk diserahkan kembali mandat mutlak kepada rakyat.

UMNO turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang telah memberikan kepercayaan kepada Ismail Sabri untuk diperkenankan pelantikannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Perdana Menteri Malaysia ke-9. 

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera itu sebagai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.