KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan penjelasan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dalam tempoh dua minggu bagi menjawab notis tunjuk sebab yang diterima gabungan itu pada 22 September lalu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya kini sedang berbincang bagi menyediakan jawapan dan penjelasan kepada RoS dalam tempoh ditetapkan.
“Kami ada tempoh sebulan dan sedang berbincang untuk membuat jawapan-jawapan penjelasan kepada RoS.
“Mungkin dalam masa dua minggu kami boleh selesaikan perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri Bunut Payung di Lembah Sireh di sini pada Sabtu.
RoS sebelum ini menjelaskan notis berkenaan bukan keputusan membatalkan pendaftaran PN, sebaliknya memberi ruang kepada gabungan itu menjelaskan aduan yang dikemukakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada 23 September lalu, RoS turut mengeluarkan perintah penggantungan semua kegiatan PN berkuat kuasa serta-merta di bawah Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
RoS mengesahkan aduan Bersatu diterima pada 11 Ogos lalu antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai serta isu kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.
Menurut Takiyuddin, PN juga sudah mengutus surat kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan yang dikenakan terhadap gabungan itu.
“Semalam dah hantar surat dan kami harap sebagai agensi yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan, apabila satu pertubuhan itu dikenakan tindakan, beri ruang untuk kami berjumpa dengan Ketua Pengarah.
“Kami nak minta penjelasan dan kami nak bagi penjelasan. Pokoknya kena jumpa dengan kami. Kalau tak nak jumpa, kami nak jumpa siapa lagi?” katanya.
Takiyuddin berkata, pertemuan itu akan melibatkan kepimpinan PN dan pihaknya akan menentukan wakil yang akan hadir.
“Notis tunjuk sebab ini untuk kami beri penjelasan yang memuaskan kepada RoS, barulah mereka akan buat keputusan,” katanya. -- Sinar Harian