JITRA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menunjukkan rasa hormat kepada  Perikatan Nasional (PN), memandangkan parti berkenaan merupakan blok terbesar di Dewan Rakyat yang menyokong pemimpin berkenaan.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beberapa tindakan yang dilakukan Naib Presiden UMNO itu dilihat membelakangi pihak yang mengangkatnya sebagai Perdana Menteri, termasuk membatalkan pertemuan bersama kepimpinan tertinggi PN, pada Jumaat.

Tambah beliau, pertemuan yang direncanakan itu adalah amat penting khususnya dalam membincangkan mengenai kerjasama ahli-ahli parlimen kerajaan namun keputusan yang dibuat Perdana Menteri kira-kira dua jam sebelum pertemuan berlangsung amat mengecewakan kepimpinan PN dan Bersatu.

"Jadi kita menuntut supaya Perdana Menteri menunjukkan sedikit rasa hormat kepada blok yang menyokong beliau, beliau boleh memenuhi janji dan menghormati pembangkang di sebelah Pakatan Harapan?

"Kenapa tidak ada hormat kepada kita dalam Perikatan Nasional, blok terbesar dalam Parlimen yang menyokong dan naikkan beliau sebagai Perdana Menteri," soalnya lagi.

Wan Saiful berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sihat bersama Wan Saiful di Tasik Darul Aman Jitra di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap agar pemimpin nombor satu negara itu tidak menggadaikan prinsip yang dipegang sebelum ini dalam melakukan reformasi dalam pentadbiran di negara ini terutama membanteras rasuah dan kleptokrasi.

"Ini yang saya bimbang ditambah lagi dengan ucapan daripada Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa Menteri Kewangan akan membawa gula kepada UMNO dan Barisan Nasional.

"Kita bimbang kleptokarasi, zaman rasuah, zaman kronisme yang dipelopori UMNO dan Barisan Nasional ini kembali dan saya mendesak Datuk Seri Ismail Sabri (supaya tidak terlibat sama) agar integriti beliau tidak (akan) dipersoalkan," tambahnya.