KUALA LUMPUR: Politik bukanlah cara untuk menangani masalah dihadapi rakyat yang kini tertekan dan mengalami kesukaran hidup akibat COVID-19.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, justeru parti itu mahu semua pihak meletakkan usaha memulihkan keadaan rakyat sebagai fokus paling utama.

Katanya, disebabkan itu mereka sebelum ini mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara.

“Kami tidak peduli soal politik. Ada orang yang membuat bermacam-macam cadangan politik tapi di antara mereka pun ada yang tidak bersetuju.

“Jadi, politik bukan cara untuk menangani masalah dihadapi rakyat. Kami tidak akan perkenalkan tindakan politik,” katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengkritik tindakan kerajaan memanggil sidang Parlimen pada 26 Julai nanti yang disifatkan terlalu lambat.

Tegasnya, dengan keadaan kes merekodkan empat angka setiap hari dan jumlah kematian yang membimbangkan, beliau menegaskan kerajaan harus mempercepatkan setiap tindakan.

“Kami berpendapat tak perlu taklimat daripada kerajaan. Kami semua sudah tahu rancangan pemulihan kerajaan.

“Kami juga lihat bahawa rancangan ini tidak sedikit pun berkesan untuk mengurangkan jumlah kes-kes baharu dan segala masalah dihadapi rakyat,” ujarnya.