KUALA LUMPUR: Wanita Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pilihan raya negeri (PRN) tidak sesuai dilakukan di Melaka ketika ini lantaran risiko jangkitan COVID-19 masih tinggi.

Menerusi satu kenyataan, Wanita PN menegaskan, walaupun negara kini sudah hampir mencapai sasaran imunisasi 90 peratus populasi dewasa, risiko jangkitan dikhuatiri meningkat jika ratusan ribu rakyat Melaka keluar mengundi.

"Wanita PN berpendapat, fokus ketika ini harus diberikan kepada usaha-usaha untuk memulihkan negara dan negeri Melaka daripada pandemik COVID-19.

BACA: Politik Melaka: UMNO mungkin cadang PM nasihat Agong isytihar darurat - Ahmad Maslan

BACA: Politik Melaka: Surat bubar DUN diserahkan sehari sebelum empat ADUN tarik sokongan - Mohamad Ali

"Proses pemulihan negara dan negeri Melaka sedang berjalan lancar dan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah mula menampakkan hasil positif," memetik kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan atas nama Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd Saleh; Ketua Wiranita Star, Evelyn Gobile; Ketua Wanita SAPP, Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan, Janice Wong Oi Foon.

Sementara itu, Wanita PN berkata mereka tetap bersedia menghadapi PRN dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan bersesuaian.

Wanita PN turut kesal dan kecewa apabila krisis politik di Melaka tercetus ekoran tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ketika rakyat dan negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.