Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dicadang mempertimbangkan mekanisme potongan gaji bagi anggota parti yang memegang jawatan dalam kerajaan dan agensi kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan dana yang membelenggu parti itu.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata gaji menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan anggota lembaga pengarah pelbagai agensi boleh dipotong mengikut peratusan tertentu setiap bulan bagi tujuan itu.

Dana yang dikumpulkan parti itu nanti akan membolehkan pemimpin di peringkat akar umbi parti terus bekerja memberi khidmat kepada rakyat.

"Ahli-ahli majlis tertinggi, menteri-menteri, timbalan menteri-menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik perlu sedar bahawa kita naik ke atas adalah hasil usaha orang di bawah. Jadi saya rasa apa salahnya sekiranya difikirkan mekanisme potongan gaji yang tetap daripada mereka untuk disalurkan kepada parti.

"Supaya orang di bawah tahu bahawa sokongan yang mereka beri untuk kita naik ke atas bukan menghasilkan kekayaan kepada diri kita sahaja tetapi elaun atau gaji yang kita dapat kita guna untuk bantu mereka yang beri khidmat kepada rakyat," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, di Menara PTPTN, di sini.

Potongan gaji seumpama itu turut diamalkan Parti Keadilan Rakyat dan DAP yang mana peratusan tertentu gaji anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri parti itu dipotong dan disalurkan untuk kelangsungan operasi parti.

Isu kekurangan dana parti pernah hangat diperkatakan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2 hujung tahun lepas apabila Naib Pengerusi parti Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menggesa kerajaan menyalurkan kontrak atau projek kepada ketua bahagian parti berkenaan.

Wan Saiful berkata isu kekurangan dana juga kerap dibangkitkan oleh pemimpin di peringkat akar umbi dan beliau menyifatkan keluhan-keluhan itu menunjukkan komitmen mereka untuk memperkukuhkan parti.

"Jadi bila ketua-ketua AJK (anggota jawatankuasa) bahagian, cawangan menyuarakan kebimbingan mengenai dana parti, bagi saya ini menunjukkan bahawa mereka ada komitmen untuk beri khidmat kepada rakyat sebab itu dia perlukan dana bukan untuk memperkayakan diri.

"Jadi, permintaan untuk isu dana diperhatikan ialah satu permintaan yang rasional dan perlu kita beri perhatian," katanya.

Dalam pada itu Wan Saiful berkata di samping usaha untuk memastikan kontrak kerajaan diberikan secara adil tanpa campur tangan politik, pemimpin di peringkat akar umbi termasuk ketua bahagian dan cawangan perlu diberi kemahiran dan dilatih mengumpul dana untuk parti.

"Kemahiran untuk buat 'fund raising' (mengumpul dana) ini tiada pada petugas-petugas politik. Tetapi orang-orang yang terlibat dalam NGO (pertubuhan bukan kerajaan) sebelum ini dia ada kemahiran untuk buat kertas kerja, untuk buat submission (permohonan), ke sana ke sini untuk mengumpul dana.

"Di samping kita hendak pastikan tadbir urus yang baik di peringkat negara, tadbir urus di peringkat parti ini perlu melibatkan juga latihan dan sokongan yang kita sampaikan di peringkat bahagian (dan cawangan) untuk perkukuhkan mereka.

-- BERNAMA