Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim akan menjadi penanda aras untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baru untuk Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan PRK DUN Chini dan bersedia untuk menambah baik SOP sedia ada.

“Kedua-dua pilihan raya kecil akan beri KKM satu tanda aras untuk kita laksanakan pilihan raya, skala lebih besar di Sabah.

“Kita akan keluarkan SOP dan yang penting adalah kepatuhan kepada SOP tersebut dan kita akan bekerjasama dengan agensi untuk laksanakan SOP tersebut dan pastikan ada kepatuhan dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu.

Dalam satu sidang media khas pada Khamis, Mohd Shafie menjelaskan, pembubaran DUN Sabah itu telah mendapat perakuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam jangka masa 60 hari dan beliau akan terus menjadi Ketua Menteri Sabah sementara (caretaker).

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima pemakluman rasmi daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung pembubaran DUN Sabah penggal ke -15.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Perkara 21 (4), Perlembagaan Negeri Sabah, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.