KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Pahang telah menyenaraikan enam nama berpotensi, berkaliber dan berwibawa tersenarai untuk dipertimbangkan sebagai calon Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Senarai nama berkenaan telah diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dibincang dan diputuskan.

Difahamkan antara nama yang berada dalam senarai tersebut adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Jamaludin Buyong.

Jamaludin, 60, yang juga anak kelahiran Bentong merupakan bekas Pemangku Pengarah Urusan TRIpic Berhad.

Selain Jamaluddin, nama-nama lain yang dipertimbangkan adalah Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, Naib Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Hazraf Ali Hasan, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Bentong, Fadliyatun Ahmad.

Dua bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Datuk Ekmal Hamid Zakaria dan Datuk Khairuddin Yaakob dikatakan turut disenaraikan.

Nama calon BN yang akan bertanding di PRK DUN Pelangai akan diumumkan dalam satu majlis pada 17 September ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Johari adalah antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada PRU15, Johari berjaya memenangi kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.

Beliau memperoleh 7,308 undi berbanding 3,260 undi diterima lawannya itu manakala dua lagi calon iaitu Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).