KUALA LUMPUR: Gerak kerja kempen Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan disesuaikan mengikut keadaan semasa dengan mendahulukan bantuan kepada rakyat sekiranya berlaku banjir.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad berkata segala perancangan dan langkah berjaga-jaga telah diatur bagi menghadapi kemungkinan berlaku bencana itu ketika tempoh kempen PRK berlangsung.

"Persediaan ini amat penting memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Monsun Timur Laut dijangka bermula pertengahan November dan berlanjutan hingga Mac tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata pemilihan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN bagi PRK berkenaan membuktikan kepimpinan semua peringkat dalam gabungan itu memahami perubahan landskap politik semasa negara.

Beliau berkata sayap wanita parti berkenaan juga mengalu-alukan keputusan BN memilih bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu untuk mewakili BN dalam PRK Kemaman.

"Wanita UMNO dan BN berharap pengundi di Parlimen Kemaman dapat memberikan sokongan dan kepercayaan kepada calon BN untuk memberikan khidmat bakti kepada rakyat," katanya.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan Che Alias Hamid, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian berlangsung pada 2 Dis manakala tarikh penamaan calon dan hari pengundian awal masing-masing pada 18 dan 28 Nov ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, calon BN Datuk Seri Ahmad Said tewas kepada Che Alias dengan majoriti 27,179 undi sekali gus menyaksikan Pas mendominasi kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

-- BERNAMA