HULU SELANGOR: UMNO menyokong mana-mana calon yang akan diputuskan untuk mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip UMNO adalah menghormati kerusi-kerusi yang telah dimenangi oleh parti-parti komponen dalam kerajaan.

Jelas beliau, calon yang dimuktamadkan akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya fikir kita harus berada dalam keadaan harmoni politik kerana kita mahu sama ada di peringkat negeri atau pusat, perkara-perkara ini hendaklah kita selesaikan dan ia akan mempermudahkan Perdana Menteri selaku Pengerusi Kerajaan Perpaduan untuk mencari titik persamaan.

“Insya-Allah jika ada perbezaan-perbezaan, pada hemah saya ia akan dapat diselesaikan dengan cara paling terbaik,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2024 UMNO Bahagian Hulu Selangor di MRSM Ampang Pecah di Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah bertemu dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung cadangan agar calon PRK dipilih dalam kalangan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, beliau memahami kenyataan yang dibuat oleh Ka Siong, ketika itu.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berpendapat kenyataan yang dibuat oleh pihak berkenaan adalah pendirian parti masing-masing, dan berhadap ia bersifat sementara.

“Jika kenyataan itu dikeluarkan (kerana) kecil hati, oleh kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh rakan-rakan dalam parti komponen yang lain, saya harap perkara ini dapat diselesaikan bagi menjernihkan kekeruhan,” ujarnya lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.