PRK Lamag: Mohd Ismail lancar manifesto, kemuka tujuh tawaran

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag Mohd Ismail Ayob. - Foto BERNAMA
KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) malam ini melancarkan manifesto bertema "Lamag Wajah Baharu" yang mengandungi tujuh tawaran untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ringkasan AI
- Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto "Lamag Wajah Baharu" dengan tujuh tawaran pembangunan termasuk PPR, infrastruktur, pelancongan, dan prasarana sukan di DUN Lamag.
- Manifesto BN turut menekankan penubuhan Bandar Seri Milian sebagai pemangkin pembangunan serta insentif RM1,000 untuk golongan muda melanjutkan pelajaran tinggi di Lamag.
- Calon BN PRK Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim, pula akan melancarkan manifesto yang menitikberatkan pendidikan, TVET, dan pusat pembangunan belia di kawasan luar bandar.
Selain itu, mewujudkan sektor pelancongan, kraftangan, usahawan dan kebudayaan di Lamag; cadangan penubuhan kolej atau institut kemahiran Kinabatangan bagi menyediakan peluang belajar dan bekerja untuk anak tempatan; meningkatkan prasarana sukan dengan pembinaan kompleks atau mini kompleks sukan di Kinabatangan; dan menaik taraf infrastruktur asas di Lamag.
Turut diberi penekanan kewujudan bandar baharu iaitu Bandar Seri Milian sebagai pemangkin kepada pembangunan Lamag; dan insentif khas RM1,000 bagi golongan muda di kawasan itu yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi serta belia DUN Lamag yang baharu mendirikan rumah tangga.
Pelancaran manifesto pada program Malam Galau di Dataran Terminal di sini itu turut dihadiri calon BN bagi PRK kerusi Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar
Sementara itu, Mohd Kurniawan Naim ketika ditemui pemberita berkata manifesto beliau untuk rakyat Kinabatangan yang mengandungi 10 perkara akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata antara yang terkandung manifesto itu ialah usaha memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan anak muda Kinabatangan tidak tercicir dalam pelajaran, selain memperbanyak pusat pembangunan belia di kawasan luar bandar.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim ditentang Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 24 Jan manakala 20 Jan ini sebagai undi awal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


