Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan sempena Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh esok bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Beberapa jalan akan ditutup bermula 7 pagi di sekitar pusat penamaan calon iaitu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Penutupan jalan yang terlibat semasa penamaan calon adalah :

1) Laluan yang bermula dari lampu isyarat Jalan Mengkuang ke Jalan Berapit.

2) Simpang Jalan Berapit dan Jalan Tok Elong.

Jalan-jalan yang terlibat ini akan ditutup sehingga penamaan calon ini selesai.

Dalam pada itu, jurucakap bagi PRK P44 Permatang Pauh, ACP Azmi Adam menasihatkan orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya dan arahan yang dikeluarkan anggota trafik.

"Penunggang dinasihatkan agar tidak mengibarkan bendera ketika membawa motosikal kerana boleh mengakibatkan kecederaan. Mereka boleh dikenakan Akta Pengangkutan Jalan, Seksyen 42 kerana menunggang dengan merbahaya.

"Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan juga akan dikenakan kepada mereka yang menghalang trafik. Contohnya bagi mereka yang meletakkan kenderaan di tempat yang menghalang jalan," jelas beliau dalam Taklimat PRK Permatang Pauh hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.

Azmi berkata kira-kira 300 anggota akan ditugaskan esok di IKBN bagi memastikan penamaan calon berjalan lancar.

PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, penamaan calon 25 April, manakala pengundian awal 3 Mei.