BENTONG: Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam bertekad meningkatkan akses dan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli, jika diberikan mandat oleh rakyat kawasan itu, 7 Okt ini.

Amizar berkata beliau mahu melihat aspek pendidikan menjadi asas kepada masyarakat Orang Asli di situ, sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mendapat pekerjaan yang baik bagi merubah nasib keluarga.

"Saya ada bertanya kepada beberapa anak muda, ada yang berumur 15 dan 14, tetapi mereka kurang mendapat pendidikan. Hasrat saya untuk menambah nilai tahap pendidikan sehingga menjadi asas masyarakat Orang Asli di sini," katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk Orang Asli Ulu Semei hari ini.

Beliau berkata kerajaan Pahang tidak pernah meminggirkan keperluan masyarakat Orang Asli dan sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup mereka setanding kaum lain di negara ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM12.32 juta pada tahun ini bagi meningkatkan taraf kehidupan komuniti Orang Asli dalam pelbagai aspek di Pahang.

Dalam pada itu, Tok Batin kampung berkenaan Yihang Atung berkata Amizar yang merupakan anak tempatan dilihat sebagai calon tepat bagi meneruskan usaha kerajaan dalam memenuhi kehendak dan keperluan Orang Asli di DUN Pelangai.

Menurut Yihang, seramai 83 daripada keseluruhan 185 penduduk Kampung Orang Asli Ulu Semei layak mengundi pada PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK itu diadakan susulan kematian Datuk Seri Johari Harun, 53, yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat di Elmina, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

-- BERNAMA