BENTONG: Selepas 14 hari berkempen, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat meletakkan keyakinan yang tinggi dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada penerimaan positif daripada pengundi di kawasan berkenaan sepanjang berkempen.

“Saya kalau berdasarkan keyakinan, saya yakin 100 peratus.

“Ini berdasarkan dua minggu saya berkempen, walaupun berskala kecil tetapi saya pergi rumah ke rumah. Saya belum jumpa lagi yang negatif terhadap kehadiran saya, malah mereka menyatakan sokongan padu kepada PN pada kali ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Kasim dan isteri, Atiqah Abu Bakar selesai mengundi sekitar 8.30 pagi.

Mengulas lanjut, Cikgu Kasim berkata, beliau melihat kadar keluar mengundi pada pagi ini disifatkan baik, kerana kemungkinan para pengundi memilih keluar awal kerana faktor cuaca yang diramal hujan pada sebelah petang.

Beliau dalam masa yang sama menjangkakan peratusan keluar mengundi sekitar 65 peratus hingga 75 peratus.

“Kami target 75 peratus, pun sudah memadai… dah menang dah tu,” tambahnya.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam; Kasim (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) serta calon Pejuang, Isa Ahmad (65 undi).

Lebih 16,000 pengundi akan menjalankan tanggungjawab hari ini dengan sembilan Pusat Mengundi dibuka melibatkan 30 saluran.